Malay Chinese (Simplified) English

ADTEC BATU PAHAT CEMERLANG DALAM AHIN 2018 PERINGKAT KEBANGSAAN


ADTEC Batu Pahat, 17 September 2018 - ADTEC Batu Pahat mencipta kejutan apabila diumumkan sebagai pemenang pingat Emas dalam Majlis Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2018 peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur pada 13 September, baru-baru ini. Projek inovasi Alat Penguji Mentol Tanpa Wayar yang dibangunkan oleh pasukan ADTEC Batu Pahat berjaya mengungguli kategori Perekacipta Harta Intelek (Pelajar Institusi Kemahiran atau setaraf). Kejayaan ini membolehkan ADTEC Batu Pahat membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM 7,000.00 beserta piala dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Saifuddin Nasution Ismail. 

Pada 10 Julai yang lepas, projek Alat Penguji Mentol Tanpa Wayar telah dinobatkan sebagai juara AHIN peringkat zon Selatan yang melayakkan projek tersebut mewakili zon Selatan ke peringkat Kebangsaan. Pasukan ADTEC Batu Pahat diwakili oleh saudara Rick Ashley a/l Supramaniam, saudara Mohamad Azman bin Mohamad Eskak dan saudari Khairun Nadhirah binti Rosli. Ketiga-tiganya adalah pelajar ADTEC Batu Pahat daripada Bahagian Teknologi Mekatronik. Pasukan ini dibimbing oleh Encik Mohd Safit bin Mohd Samsudin, pensyarah di Bahagian Teknologi Mekatronik. 

Pertandingan Anugerah Harta Intelek Negara atau AHIN 2018 dianjurkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada perekacipta dan pencipta atas penghasilan harta intelek mereka dalam pembangunan sosio-ekonomi negara. Selain itu, AHIN 2018 juga diadakan bagi menggalakkan serta menanamkan budaya berkreativiti dan berinovasi di kalangan rakyat Malaysia. Anugerah ini terbuka kepada organisasi, individu dan juga pelajar. Empat kategori utama dipertandingkan dalam AHIN 2018 iaitu kategori Organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik), Kategori Reka Bentuk Perindustrian, Paten, Cap Dagangan dan Hak Cipta, Kategori Pereka cipta Harta Intelek (Pelajar Institusi Kemahiran atau Setaraf) dan Pereka cipta Muda Harta Intelek (Pelajar Sekolah Menengah).

Tahniah dan syabas kepada pasukan ADTEC Batu Pahat atas kejayaan mereka dalam AHIN 2018 peringkat Kebangsaan.

 

 -- Gambar Sekitar AHIN 2018 -- 

            

 

Klik disini untuk melihat lebih banyak gambar di Facebook rasmi ADTEC Batu Pahat 

0
0
0
s2smodern
powered by social2s
Download Free Designs http://bigtheme.net/ Free Websites Templates