Malay Chinese (Simplified) English

ADTEC BATU PAHAT MENANG TEMPAT KETIGA ROKKAKU CHALLENGE DALAM PESTA WAU ANTARABANGSA KELANTAN 2018


Batu Pahat, 09 Ogos 2018 - Pasukan layang-layang ADTEC Batu Pahat mencipta kejutan apabila berjaya memenangi tempat ketiga dalam pertandingan Rokkaku Challenge di Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2018 Kali ke-36 yang diadakan di Pantai Geting, Tumpat, Kelantan pada 2 hingga 4 Ogos, baru-baru ini. Kejayaan ini membolehkan pasukan ADTEC Batu Pahat membawa pulang piala kemenangan dan wang tunai RM100 beserta sijil penyertaan. Pertandingan Rokkaku Challenge kali ini menyaksikan 16 pasukan turut bertanding yang melibatkan peserta-peserta dari dalam dan luar negara antaranya Malaysia, China, Jepun, Indonesia dan lain-lain.  

Penyertaan kali ini merupakan penyertaan kelima ADTEC Batu Pahat dalam pertandingan Rokkaku Challenge peringkat Antarabangsa. Pada tahun lepas ADTEC Batu Pahat berjaya mendapat tempat kedua melawan pasukan layang-layang ILJTM yang bertanding di Pasir Gudang. Menurut Encik Mohd Kamarul Hisham bin Kamaruddin, ketua pasukan layang-layang ADTEC Batu Pahat, dalam pertandingan Rokkaku Challenge ini, setiap pasukan perlu berlawan antara satu sama lain dengan berusaha menjatuhkan layang-layang pihak lawan. Layang-layang yang tetap bertahan akan memenangi pertandingan. 

Rokkaku Challenge merupakan salah satu daripada lebih 20 acara yang dipertandingkan sempena Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2018. Pesta Wau Antarabangsa ini diadakan saban tahun dan dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi kerajaan, persatuan layang-layang dan juga pihak swasta. Pada tahun ini, sebanyak 12 buah negara telah turut serta melibatkan seramai 30 orang peserta luar dan 250 keseluruhan peserta dalam negara. Acara lain yang turut dipertandingkan dalam pesta kali ini ialah Wau Kucing Tradisi Naik Peringkat Kebangsaan, Wau Jala Budi Kebangsaan, Membuat Wau Tradisi Peringkat Kebangsaan dan banyak lagi. 

Tahniah diucapkan kepada pasukan layang-layang ADTEC Batu Pahat. Semoga ADTEC Batu Pahat menjadi juara pula dalam pertandingan Rokkaku Challenge pada tahun akan datang.

 

MAKLUMAT PASUKAN LAYANG-LAYANG ADTEC BATU PAHAT 2018:

Ketua Pasukan : Mohd Kamarul Hisham bin Kamaruddin (Staf) 
Ahli Pasukan : Muhammad Azraai Akmal Bin Mohd Baharuddin
  : Abdul Rahman Bin Abdul Rashid
  : Muhammad Zulhelmi Bin Jamil
  : Ahmad Azamuddin Bin Jaafar
Pencapaian : Tempat Ke-3
Peringkat : Antarabangsa

 

 -- Gambar Sekitar Pertandingan --

Klik disini untuk melihat lebih banyak gambar di Facebook rasmi ADTEC Batu Pahat

 

0
0
0
s2smodern
powered by social2s
Download Free Designs http://bigtheme.net/ Free Websites Templates