Karnival Kerjaya & Pendidikan TVET MyFutureJobs X ADTEC JTM Kampus Batu Pahat 2025

Karnival Kerjaya & Pendidikan TVET MyFutureJobs X ADTEC JTM Kampus Batu Pahat 2025
Hampir 1,000 pengunjung memeriahkan Karnival Kerjaya & Pendidikan TVET MyFutureJobs X ADTEC JTM Kampus Batu Pahat 2025. Sebanyak 221 graduan dan pencari kerja telah menghadiri sesi temuduga di mana 61 berjaya mendapat pekerjaan dan 136 lagi akan dipanggil ke sesi temuduga kedua. Karnival anjuran bersama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Yayasan Makmur Batu Pahat ini menghimpunkan 14 buah syarikat dengan lebih 600 peluang pekerjaan ditawarkan.
 
Selain sesi temuduga, karnival yang berlangsung pada 29 Oktober 2025 ini turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik seperti seminar kerjaya dan AI, career launchpad, lawatan ke bengkel, pameran, demonstrasi dan simulasi drone, pertandingan Robot Sumo RC 1KG, Capture the Flag (CTF) dan eSports serta jualan gerai makanan dan food truck. Sebanyak 10 gerai pameran pendidikan dan kerjaya melibatkan agensi awam dan swasta telah turut serta. Antara yang mencuri tumpuan ialah pameran tentera 10 RAMD, Kem Majidee, Batu Pahat.
 
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), YBhg. Datuk Rospiagos bin Taha. Turut hadir ialah YB Tuan Haji Mohd Yusla bin Ismail, ADUN Senggarang, En. Herman bin Raban, Pengurus Besar Strategik Modal Insan, En. Mohd Sallehuddin bin Saidin, Pengurus PERKESO Batu Pahat, Pengarah-pengarah ADTEC JTM Wilayah Selatan, wakil-wakil industri dan wakil agensi daripada Jawatankuasa Komuniti. Majlis yang berlangsung di Dewan Seri Nilam turut menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara ADTEC JTM Kampus Batu Pahat dengan syarikat EIK Engineering Sdn. Bhd., Ramatex Textiles Industrial Sdn. Bhd. dan Unisteel Technology (M) Sdn. Bhd.
Selain itu, turut berlangsung penyampaian bantuan peralatan latihan bernilai RM248,200.00 yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Johor menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC). Turut disampaikan ialah sumbangan RM4,000.00 daripada Yayasan Makmur Batu Pahat bagi penganjuran karnival dan pelajar B40 serta sumbangan RM1,000.00 daripada ASK Pentest Sdn. Bhd. bagi penganjuran pertandingan CTF. ADTEC JTM Kampus Batu Pahat amat berbesar hati dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang khususnya Kerajaan Negeri Johor atas sumbangan peralatan berimpak tinggi.
 
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan oleh YBhg. Datuk Rospiagos sebelum beliau meluangkan masa melawat ruang pameran dan peralatan latihan berteknologi tinggi di Bengkel Teknologi Kimpalan.

Research Center

Bengkel Pengurusan Pelan Strategik 2026-2030 ADTEC JTM Kampus Batu Pahat

Bengkel Pengurusan Pelan Strategik 2026-2030 ADTEC JTM Kampus Batu Pahat
ADTEC JTM Kampus Batu Pahat telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Pelan Strategik 2026-2030 yang dihadiri oleh 21 orang pegawai di peringkat pengurusan kampus. Turut hadir ialah Ts. Dr. Muhammad bin Yusof, Pengarah ADTEC JTM Kampus Batu Pahat. Bengkel yang dikelolakan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan ini berlangsung selama dua hari, bermula 13 hingga 14 November 2025 di ADTEC JTM Kampus Senai.
 
Tujuan utama bengkel ini adalah untuk menilai keberkesanan pelaksanaan sebelum ini serta merangka hala tuju kampus bagi tempoh lima tahun akan datang (2026-2030). Perancangan ini diselaraskan dengan hala tuju Pelan Strategik JTM 2021-2025 serta dapatan Kajian Separuh Penggal Pelan Strategik JTM 2021-2030. Bengkel dijalankan secara interaktif melalui sesi perbincangan berkumpulan sebelum hasil dapatan dibentangkan pada hari terakhir.
 
Semoga usaha ini dapat memperkasa hala tuju strategik kampus dalam menyokong agenda TVET negara dan memastikan ADTEC JTM Kampus Batu Pahat terus relevan serta berdaya saing.