Kempen Tanam 100 Juta Pokok di Malaysia


ADTEC Batu Pahat, 14 Jun 2021
 - Bagi menyahut seruan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021-2025) melalui Program Penghijauan Malaysia, ADTEC Batu Pahat telah mengambil inisiatif melaksanakan kerja-kerja menanam pokok di kawasan hadapan Dewan Seri INTAN, ADTEC Batu Pahat, baru-baru ini. Sebanyak 36 batang pokok telah ditanam, terdiri daripada 17 batang Pokok Bunga Jepun, 5 batang Pokok Bushida, 8 batang Pokok Tanjung dan 6 batang Pokok Mambu. Aktiviti penanaman yang bermula pada jam 9.00 pagi melibatkan usahasama pekerja-pekerja landskap dan unit BPPA ADTEC Batu Pahat.

Kempen Penanaman 100 Juta Pokok telah dilancarkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato'Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin pada awal tahun ini iaitu pada 5 Januari 2021. Kempen 5 tahun bermula tahun 2021 hingga 2025 ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup, selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara. Kempen ini juga bertujuan memupuk semangat cintakan alam semula jadi melalui penanaman pelbagai jenis pokok ke atas setiap lapisan masyarakat serta menyokong komitmen untuk mengekalkan litupan kawasan berhutan di Malaysia.

Satu aplikasi mudah alih iaitu “Penghijauan Malaysia” dan juga laman web khas juga telah dibangunkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bagi membolehkan semua agensi kerajaan atau swasta mahupun orang awam merekodkan data penanaman pokok sama ada mewakili agensi mahupun selaku individu. Sebanyak 8.56 juta pokok telah direkodkan dalam sistem tersebut semenjak Januari 2021 sehingga 24 Mei 2021.

 

-- Gambar Sekitar Aktiviti --