Malay Chinese (Simplified) English

ADTEC BATU PAHAT LANCARKAN EKSA DAN GOTONG ROYONG PERDANA


ADTEC Batu Pahat, 9 April 2019 - ADTEC Batu Pahat hari ini, melancarkan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang dirasmikan oleh Pengarah ADTEC Batu Pahat, Tuan Haji Mohd Manoj bin Jumidali. Majlis yang bermula seawal jam 8.00 pagi di Dewan Seri Nilam ini dihadiri oleh semua pelajar dan kakitangan ADTEC Batu Pahat. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah pelajar dan kakitangan CIAST serta beberapa orang tetamu jemputan yang lain. 

Majlis bermula sebaik sahaja ketibaan Tuan Pengarah, yang diiringi oleh Tuan Haji Zaidi bin Md Yusuf, Timbalan Pengerusi EKSA dan Encik Jamil Khir bin Zainol, Penyelaras EKSA ADTEC Batu Pahat. Selesai nyanyian lagu dan bacaan doa, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Penyelaras EKSA sebelum diteruskan pula dengan ucapan perasmian daripada Tuan Pengarah.

Dalam ucapan Tuan Pengarah, beliau yang juga Penaung EKSA ADTEC Batu Pahat berkata, EKSA bukanlah bertujuan untuk menggantikan konsep 5S yang telah diamalkan sebelum ini, cuma EKSA adalah merupakan versi baharu 5S yang dilaksanakan untuk menambahbaik amalan 5S di sektor awam. Pelaksanaan EKSA bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, meningkatkan imej korporat, menyemarakkan aktiviti kreativiti dan inovasi serta menggalakkan aktiviti ke arah mewujudkan persekitaran hijau melalui pembudayaan amalan hijau. Beliau berharap, ADTEC Batu Pahat akan berjaya mendapatkan persijilan EKSA cemerlang dan menjadi contoh ikutan terbaik kepada agensi awam yang lain. 

Selesai ucapan Tuan Pengarah, majlis diteruskan dengan gimik perasmian pelancaran EKSA, penyerahan bunting dan kriteria audit pertandingan EKSA kepada Ketua Zon EKSA, penyampaian pingat dan sijil kepada pemenang Asean Robofest 2019 dan tayangan video EKSA. Sejurus selesai acara di dalam dewan, semua kakitangan kemudiannya mengiringi Tuan Pengarah untuk acara menanam pokok yang menjadi simbolik bermulanya pelaksanaan EKSA di ADTEC Batu Pahat. Acara menanam pokok oleh Tuan Pengarah ini dimeriahkan dengan paluan kompang dan alunan selawat daripada pasukan kompang ADTEC Batu Pahat.

Setelah berakhir acara menanam pokok maka berakhirlah majlis pelancaran EKSA ADTEC Batu Pahat sebelum diteruskan pula dengan aktiviti gotong royong perdana di zon EKSA masing-masing sehingga jam 5.00 petang.

 

 -- Gambar Majlis Pelancaran -- 

    

   

Klik untuk melihat lebih banyak gambar di Facebook rasmi ADTEC Batu Pahat

0
0
0
s2smodern
powered by social2s
Download Free Designs http://bigtheme.net/ Free Websites Templates