Malay Chinese (Simplified) English

MAJLIS PERPISAHAN RAIKAN DUA KAKITANGAN ADTEC BATU PAHAT


ADTEC Batu Pahat, 30 Ogos 2018 - Majlis perpisahan meraikan dua kakitangan ADTEC Batu Pahat, Cik Norazma Binti Saari dan Puan Siti Nor Nazirah Binti Sahak telah diadakan di Pusat Sumber pada 27 Ogos, baru-baru ini. Majlis perpisahan ini dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan (KSKK) ADTEC Batu Pahat. Turut serta dalam majlis kali ini ialah Pengarah ADTEC Batu Pahat, Tn. Hj. Mohd Manoj bin Jumidali, Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan, Tn. Hj. Mazlan bin Abdul Majid serta seluruh kakitangan ADTEC Batu Pahat.

Majlis yang bermula pada jam 11.30 ini dimulai dengan bacaan doa daripada Hj. Mohd Sujari bin Jemeran. Selesai bacaan doa, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi KSKK, En. Amir bin Giman sebelum diteruskan pula dengan ucapan Tuan Pengarah ADTEC Batu Pahat. Dalam ucapan Tuan Pengarah, beliau yang mewakili seluruh kakitangan ADTEC Batu Pahat, mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cik Norazma dan Puan Siti Nor Nazirah diatas segala sumbangan dan komitmen yang diberikan sepanjang mereka berkhidmat di ADTEC Batu Pahat. Selesai ucapan Pengarah, peluang diberikan pula kepada kedua-dua kakitangan yang diraikan untuk menyampaikan ucapan masing-masing sebelum dijalankan acara penyampaian cenderahati dan jamuan makan.

Menelusuri sejarah kerjaya Cik Norazma, beliau adalah merupakan tenaga pengajar di Jabatan Mekanikal, ADTEC Batu Pahat selama hampir 9 tahun. Semasa beliau melapor diri di ADTEC Batu Pahat sebagai Pegawai Latihan Vokasional pada 25 Februari 2010, beliau telah ditempatkan di Bahagian Pembuatan (Perkakasan). Kemudian pada tahun 2016, beliau ditukarkan pula ke Bahagian Pembuatan (Pemesinan) kerana bidang perkakasan di ADTEC Batu Pahat telah dijumudkan. Selain daripada tugas hakiki beliau sebagai pengajar, beliau juga menjawat jawatan sebagai warden di ADTEC Batu Pahat sejak tahun 2016. Beliau juga adalah merupakan setiausaha Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan ADTEC Batu Pahat untuk tempoh 2 tahun bermula daripada tahun 2017 hingga 2018. Selain itu, beliau juga pernah ditugaskan sebagai penyelaras kelab taekwando ADTEC Batu Pahat pada 2010 hingga 2013 dan sebagai penyelaras persatuan silat ADTEC Batu Pahat pada tahun 2013 hingga 2015. Menurut Cik Norazma, selepas ini beliau akan menyambung pengajian beliau diperingkat Ijazah Sarjana (Master) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi secara sepenuh masa dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal. Beliau dijangka tamat pengajian pada tahun 2020.

Puan Siti Nor Nazirah pula mula bertugas di ADTEC Batu Pahat pada tarikh 3 Mei 2018. Perjawatan terakhir beliau setelah lebih 13 tahun berkhidmat di ADTEC Batu Pahat adalah sebagai Pembantu Tadbir, Gred N22 di Unit Perolehan. Sebelumnya, beliau pernah ditempatkan di Bilik Fail, di Bahagian Perkhidmatan dan di Unit Pengurusan Latihan. Sebelum berkhidmat di ADTEC Batu Pahat, beliau berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir di Bahagian Teknologi Maklumat, Kementerian Sumber Manusia. Menurut Puan Siti Nor Nazirah, selepas ini beliau akan bertukar ke Pusat Kemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi, Jabatan Kerja Raya, Alor Gajah, Melaka. Menurutnya lagi, beliau memohon untuk berpindah bagi menjaga ibu beliau yang telah uzur.

Kepada kedua-dua kakitangan ini, ADTEC Batu Pahat mengucapkan selamat maju jaya. Semoga selepas ini akan lebih cemerlang di tempat yang baharu. Terima kasih tidak terhingga atas segala sumbangan dan kerjasama yang diberikan selama ini.

 

 -- Gambar Sekitar Majlis -- 

    

   

Klik di sini untuk melihat lebih banyak gambar di Facebook rasmi ADTEC Batu Pahat

0
0
0
s2smodern
powered by social2s
Download Free Designs http://bigtheme.net/ Free Websites Templates