Malay Chinese (Simplified) English

PROGRAM e-USAHAWAN MIKRO MALAYSIA BOOK OF RECORD 


Batu Pahat, 13 November 2017 - Seramai 53 orang peserta daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah menyertai Program e-Usahawan Mikro Malaysia Book of Record di ADTEC Batu Pahat pada 4 November yang lalu. Program ini merupakan anjuran bersama Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDEC). Program sehari ini dijalankan di Makmal Komputer 3, ADTEC Batu Pahat, bermula seawal jam 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang. Kursus dikendalikan oleh Pensyarah ADTEC Batu Pahat yang berpengalaman dalam modul latihan keusahawanan, iaitu Puan Eza binti Monzaid dari Jabatan Komputer Rangkaian dan Puan Nor Azimah binti Abu Zarim dari Bahagian Kawalan Kualiti Latihan. 

E-Usahawan Mikro adalah merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat untuk menjana pendapatan tambahan melalui perusahaan digital. Menerusi program ini, peserta-peserta yang terdiri daripada usahawan industri kecil dan sederhana diberi latihan dan pendedahan kepada keusahawanan digital. Para peserta diajar menggunakan platform media sosial popular seperti Facebook dan Instagram sebagai salah satu saluran pemasaran efektif.

Tahniah diucapkan kepada semua peserta dan juga pengajar yang telah menjayakan program kali ini. Semoga ilmu yang dipelajari dapat membantu para peserta menjadi usahawan yang lebih berjaya pada masa akan datang.

 

 -- Gambar Sekitar Program -- 

   

   

 

0
0
0
s2smodern
powered by social2s
Download Free Designs http://bigtheme.net/ Free Websites Templates