ADTEC Batu Pahat, 15 Jun 2022 - Seramai 589 graduan ADTEC Batu Pahat yang menamatkan pengajian pada tahun 2019, 2020 dan 2021 dianugerahkan diploma dan sijil sempena Majlis Konvokesyen ILJTM Ke-25 Peringkat ADTEC Batu Pahat yang telah berlangsung pada 12 Jun 2022, baru-baru ini. Daripada 589 graduan, 562 graduan menerima Diploma dan 27 graduan lagi menerima Sijil. Majlis yang berlangsung di Dewan Seri Nilam, ADTEC Batu Pahat ini menyaksikan 264 daripada 589 graduan telah hadir untuk menerima folder sijil masing-masing di atas pentas.
Majlis bermula tepat pada jam 9.30 pagi sebaik pengacara majlis mengumumkan perarakan masuk Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia ke dalam dewan dengan diiringi oleh Pengarah-Pengarah Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia Negeri Johor, Timbalan Pengarah Latihan dan Timbalan Pengarah Operasi ADTEC Batu Pahat. Penyerahan diploma dan sijil kepada graduan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, YBrs. Encik Shakib bin Ahmad Shakir sebaik selesai Pengarah ADTEC Batu Pahat, Tn. Hj. Sarman bin Rawan membacakan watikah penganugerahan diploma dan sijil tahun 2022.
Dalam majlis tersebut juga, empat orang graduan telah diumumkan sebagai penerima anugerah graduan terbaik tahun 2022. Kriteria Pemilihan anugerah adalah berdasarkan kepada kecemerlangan graduan dalam pencapaian akademik, ko-kurikulum, disiplin yang baik dan juga penglibatan aktif sama ada di peringkat institut, jabatan, kebangsaan dan juga antarabangsa. Anugerah Tokoh Alumni tahun 2022 pula menjadi milik Encik Sharipul Firdaus bin Mohd Sharip iaitu bekas pelajar ADTEC Batu Pahat dalam bidang Teknologi Kimpalan. Beliau tamat pengajian di ADTEC Batu Pahat pada tahun 2009 dan kini bertugas sebagai Welding Inspector di Bereau Veritas, Johor Base.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua graduan dan ibu bapa. Semoga kejayaan hari ini menjadi titik tolak kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan. Tahniah juga kepada semua warga kerja ADTEC Batu Pahat, Majlis Perwakilan Pelajar dan lain-lain pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan penganjuran majlis konvokesyen kali ini.
-- Gambar Sekitar Majlis --
![]() |
![]() |