ADTEC Perkukuh Kepakaran Teknikal Pegawai PDRM

Sebagai institusi TVET di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kementerian Sumber Manusia, ADTEC JTM Kampus Batu Pahat sentiasa proaktif dalam memperluas perkongsian kepakaran teknikal kepada agensi kerajaan dan industri. Usaha ini diterjemahkan melalui penganjuran pelbagai Kursus Jangka Pendek (KJP) yang memberi tumpuan kepada kemahiran khusus berasaskan keperluan semasa industri.
Baru-baru ini, ADTEC JTM Kampus Batu Pahat telah menganjurkan Kursus Jangka Pendek “Destructive Test (DT) for Welding Specimen Inspection” pada 1 hingga 3 Oktober 2025. Kursus selama tiga hari ini memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai kaedah ujian musnah (Destructive Testing) bagi pemeriksaan spesimen kimpalan selaras dengan piawaian industri moden.
Seramai lima (5) orang pegawai dari Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Muar, Johor) telah menyertai kursus ini. Mereka didedahkan kepada pengajaran teori dan latihan amali melibatkan:
-
Pengenalan kepada prinsip dan kaedah ujian musnah (DT) dalam kawalan kualiti kimpalan.
-
Pelaksanaan Tensile Test, Bend Test, dan Impact Test.
-
Prosedur keselamatan makmal serta tatacara pengendalian peralatan ujian bahan.
Sesi amali dijalankan di bengkel kimpalan dan makmal ujian bahan ADTEC, dilengkapi kemudahan peralatan terkini bagi memastikan latihan yang efektif dan praktikal.
Majlis Penutup Kursus telah disempurnakan oleh Yang Dihormati ACP Hj. Pozlan bin Hj. Ibrahim, Timbalan Komanden Maktab Teknik PDRM, dan turut dihadiri oleh Ts. Dr. Muhammad bin Yusof, Pengarah ADTEC JTM Kampus Batu Pahat. Dalam ucapannya, ACP Hj. Pozlan menyampaikan penghargaan kepada pihak ADTEC atas penganjuran kursus yang memberi manfaat besar kepada pegawai PDRM. Beliau menekankan bahawa latihan teknikal seperti ini penting dalam meningkatkan kecekapan anggota dalam aspek penyiasatan dan keselamatan industri.
“Latihan berasaskan kemahiran seperti ini amat relevan dengan keperluan operasi teknikal PDRM dan membantu memperkukuh kepakaran dalam bidang kejuruteraan,” — ACP Hj. Pozlan bin Hj. Ibrahim
Sementara itu, Ts. Dr. Muhammad bin Yusof dalam ucapan balas beliau berkata bahawa ADTEC JTM Kampus Batu Pahat sentiasa komited untuk memperkukuh kolaborasi dengan pelbagai agensi dan industri bagi membangunkan modal insan berkemahiran tinggi.
“Kami amat mengalu-alukan kolaborasi strategik seperti ini dan berharap dapat memperluas penganjuran latihan kepada bidang lain seperti Non-Destructive Testing (NDT) serta Quality Inspection,” — Ts. Dr. Muhammad bin Yusof
Kursus ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif latihan, malah turut memperkukuh hubungan dua hala antara ADTEC JTM Kampus Batu Pahat dan Maktab Teknik PDRM Muar. Pihak institut berhasrat untuk terus menjadi rakan latihan teknikal utama kepada agensi kerajaan, industri dan komuniti dalam memperkukuh ekosistem TVET Negara.