Lawatan Pendedahan Industri ke Metaltech 2025

Seramai 25 orang pelajar Semester 2 Program Diploma Teknologi Pembuatan (Pemesinan) telah menyertai lawatan pendedahan industri ke Pameran MetalTech 2025 pada 16 Mei 2025. Mereka diiringi oleh Ts. Wan Azizurrahman bin Wan Hassan, tenaga pengajar dari Bahagian Teknologi Pembuatan (Pemesinan).
Pada keesokan harinya, seramai 29 orang pelajar Semester 2 Program Diploma Teknologi Mekatronik pula berpeluang mengunjungi pameran yang sama. Lawatan kumpulan ini diketuai oleh Ts. Mohd Safit bin Samsudin, pengajar dari Bahagian Teknologi Mekatronik.
MetalTech 2025 yang berlangsung dari 14 hingga 17 Mei 2025 merupakan pameran industri pembuatan terbesar di Malaysia. Ia mempamerkan pelbagai inovasi dan teknologi terkini dalam bidang kerja logam, mesin peralatan, dan automasi pembuatan.
Lawatan ini memberikan peluang berharga kepada para pelajar untuk menyaksikan demonstrasi secara langsung pelbagai teknologi canggih seperti mesin CNC, automasi robotik, sensor pintar, percetakan logam 3D, teknologi IoT, serta sistem pemotongan laser berteknologi tinggi.
Pendedahan sebegini amat penting dalam memperkaya pengetahuan teknikal pelajar serta meningkatkan kefahaman mereka terhadap keperluan dan perkembangan terkini industri. Diharapkan lawatan ini dapat memperkukuh kemahiran pelajar agar selari dengan kehendak pasaran kerja yang semakin mencabar dan dinamik.